Aku terasa ingin bercerita kawan. Meluahkan rasa susah di hati. Meleraikan keliru yang menyesakkan diri. Aku mahu bilang segalanya di atas coretan ini, kawan. Samada mampu atau tidak rasa ini dibawa ke medan itu, aku sendiri keliru. Puas aku kata pada hati, pesan pada diri bahawa langkahku patut hanya di sini, di dalam penantian yang sudah berakhir dengan pura sebuah kepuasan. Dan aku masih keliru dengan diriku sendiri, kawan. Tatkala ada jiwa-jiwa kental yang sanggup berkorban menegakkan yang haq, meletakkan sepenuh pengharapan hanya kepada Ilahi, aku masih di sini, kawan. Masih di sini, melihat dan melihat. Berbicara di dalam hati dengan bicara yang aku sendiri kurang pasti. Ah, jahil sangatkah aku kawan? Menyaksikan perjuangan-perjuangan itu membuatkan aku terfikir sendiri, betapa aku kosong dalam medan itu. Ya, kosong. Sebagaimana kosongnya gelas tanpa air yang memberi minum orang. Mungkin juga aku belum mengerti akan apa yang di bilang sebagai perjuangan itu. Mungkin...